Tuesday, September 23, 2008

5 Kunci Usahawan Berjaya

MERANCANG DAN DAPATKAN HASIL

Mie, tidak kira di mana sahaja di dunia, kebolehan merancang dan
mendapatkan hasil adalah tugasan yang paling berharga sekali. Tidak
kira dalam bidang politik, keluarga atau individu, merancang akan
dapat membuahkan hasil yang lebih teratur dan baik.

Begitu juga dalam perniagaan. Untuk menjadi usawahan yang berjaya,
kebolehan merancang dan mendapatkan keputusan adalah amat penting.
Sebelum memulakan apa sahaja perniagaan, satu perancangan yang
lengkap perlu diadakan (jangan nak main terjun sahaja!). Apabila
perniagaan sudah dimulakan, perancangan masih diperlukan dalam
menganalisa strategi pemasaran untuk mengembangkan perniagaan anda.
Apabila perniagaan anda sudah maju, perancangan masih diperlukan
untuk memastikan perniagaan anda mendapat pasaran terbesar dan
tidak diambil oleh pesaing anda!

Dalam setiap peringkat perniagaan, perancangan dimestikan dan tidak
pernah ditinggalkan oleh usahawan yang berjaya. Usahawan yang
berjaya akan sering Tanya pada diri sendiri:

- Apakah keputusan yang diinginkan dalam perniagaan ini?
- Bagaimana keputusan itu dapat dicapai?
- Siapa yang dapat membantu mengembangkan perniagaan ini?
- Apakah kebolehan atau ilmu tambahan yang saya perlukan untuk
mengembankan perniagaan ini?

Kebolehan anda untuk mendapatkan hasil dan bertanggungjawab atas
keputusan anda adalah tanda seorang usahawan yang gemilang.

BERI LEBIH DARIPADA APA YANG DISANGKAKAN

Kunci kejayaan sesuatu perniagaan adalah untuk melakukan lebih
daripada apa yang disangkakan. Bak kata mat salleh, "Go the extra
mile!". Maksudnya adalah untuk anda melakukan tugasan anda dalam
perniagaan lebih daripada apa yang disangkakan oleh orang lain.

Kebiasaannya, seorang pekerja hanya akan melakukan tugasannya
apabila disuruh. Pekerja akan melakukan kerja berdasarkan
pendapatan yang diterima. Tetapi, untuk menjadi usahawan yang
berjaya, menteliti sebagai "pekerja" tidak lagi boleh disimpan.

Pelanggan akan mengetahui bahawa anda sanggup bekerja ekstra untuk
memenangi hati mereka. Usahawan lain juga akan dapat melihat
peluang bekerjasama dengan anda oleh kerana anda berusaha
sekeras-kerasnya dalam perniagaan anda. Melakukan kerja lebih
daripada apa yang disangkakan akan membuka pintu rezeki kepada
perniagaan anda.

MEMASAR DAN MENJUAL!

Ini adalah kunci utama kejayaan sesuatu perniagaan- pemasaran dan
menjual! Tahukah anda bahawa lebih 95% perniagaan baru gagal dalam
tahun pertama ia ditubuhkan? Ya, statistik ini amat mengejutkan
bagi bakal-bakal usahawan. Namun, sekiranya anda mempunyai
cirri-ciri usahawan yang berjaya, ia dapat menjauhkan daripada
statistic ini.

Kebolehan memasar dan menjual apa yang anda niagakan adalah nadi
kepada apa jua jenis perniagaan. Kebolehan yang diperlukan adalah:

- Kebolehan berkomunikasi
- Kebolehan merunding
- Kebolehan memujuk pembeli membeli
- Kebolehan menjual produk atau perkhidmatan anda

Kunci kejayaan apa jua perniagaan adalah jualan dan keuntungan yang
tinggi. Tanpa kebolehan "menjual", matlamat sesuatu perniagaan
tidak dapat dicapai. Aliran wang (cash flow) adalah amat penting
dalam perniagaan dan aliran wang hanya akan diperolehi melalui
menjual produk dan perkhidmatan anda.

Oleh kerana menjual adalah amat penting dalam perniagaan, pelajari
kaedah-kaedah menjual melalui buku-buku, seminar perniagaan dan
juga seminar komunikasi.

Bertahun-tahun dulu, saya merupakan seorang yang agak pendiam dan
sukar berkomunikasi dengan sesiapa sahaja- apatah lagi menjual!
Ianya selepas saya memperbaiki kelemahan saya dalam komunikasi,
saya mula dapat melihat kejayaan dalam perniagaan saya berkembang
melalui pemasaran dan jualan yang meningkat. Dua tip dalam menjual:

1. Seseorang itu tidak dilahirkan boleh menjual! Menjual adalah
suatu kebolehan yang boleh dipelajari. Seperti menunggang basikal,
ianya agak sukar pada peringkat awal. Tetapi, apabila berkali-kali
melakukan perkara yang sama, ia menjadi semakin mudah.

2. Komunikasi adalah penting dalam perniaagaan. Namun,
berkomunikasi bukan sekadar maksudnya banyak bercakap! Tetapi juga
untuk bijak mendengar. 85% kejayaan anda adalah bergantung kepada
mereka disekeliling anda. Pelajari kaedah berkomunikasi, mendengar,
memujuk, persembahan untuk mendapat kerjasama dari pelbagai pihak
dalam membantu menjayakan perniagaan anda.

FAHAMI ANGKA PERNIAGAAN

Dimana kebolehan utama seseorang usahawan yang berjaya seperti yang
telah dibincangkan adalah yang melibatkan apa yang dapat dilihat
oleh orang ramai, namun jangan sesekali mengabaikan perkara-perkara
yang tidak dapat dilihat oleh orang ramai- iaitu angka-angka
perniagaan anda!

Kebanyakan usahawan lebih fokus kepada strategi memajukan
perniagaan dengan memberi tumpuan kepada pekerja, pelanggan,
produk, perkhidmatan dan pemasaran sehinggakan melupakan isu
penting iaitu penyata kewangan.

Anda tidak perlu menjadi pakar dalam bidang perakaunan, tetapi, apa
yang penting adalah untuk anda fahami penyata kewangan anda.
Tugasan mengurus penyata kewangan boleh diagihkan kepada mereka
yang lebih bertauliah. Namun, sebagai usahawan yang berjaya, anda
perlu memahami pengiraan wang dalam penyata kewangan anda supaya
wang yang masuk tidak menjadi wang keluar sehingga menjejaskan
keuntungan keseluruhan perniagaan anda!

TIDAK PUTUS ASA MENCUBA

Mie, seperti yag dikatakan sebelum ini, 95% perniagaan akan
gagal. Ini bermaksud, anda hanya mempunyai 5% peluang untuk berjaya!
Sedih bunyinya bukan? Kunci terkahir adalah tidak berputus asa!

Anda kenali manusia terkaya didunia, Bill Gates. Tahukah anda
bagaimana beliau menjadi manusia terkaya dalam perniagaannya yang
boleh dikatakan yang paling berjaya di dunia?

Pada ketika ini sahaja Microsoft sedang membangunkan dan menguji
lebih darpada 1,600 produk dan perkhidmatan yang balum lagi
dipasarkan dimana kebanyakannya tidak akan dipasarkan pun dan
dikira sebagai projek gagal. Mengapa begini? Microsoft tahu bahawa
lebih banyak mencuba, maka lebih banyak peluang menjumpai kejayaan.

Usahawan yang berjaya adalah mereka yang tidak putus asa dalam
usahanya untuk menjumpai 5% peluang kejayaan itu.

Walaupun dikatakan 9/10 rezeki datangnya dari perniagaan, rezeki
tersebut tidak akan tercapai sekiranya anda tidak mendalami ilmu
perniagaan. Ambil langkah demi langkah dan pelajari selok belok
perniagaan. Kejayaan perniagaan akan datang kepada anda sekiranya
anda mendalami ilmunya.

-Irfan Khairi

Monday, September 15, 2008

Usahawan Muslim Perlu Rebut Peluang Perniagaan Internet

Sejak terdedahnya kisah tokoh usahawan internet, Irfan Khairi yang
berjaya memperoleh pendapatan RM 1 juta hasil perniagaan
internetnya, rakyat Malaysia mula membuka mata. Terutamanya
golongan muda yang bersemangat tinggi, mereka tidak kisah
mengeluarkan wang untuk membeli buku-buku panduan dan cakera padat
yang menjelaskan langkah-langkah untuk memulakan perniagaan
internet. Bagi yang lebih berkemampuan atau yang benar-benar serius
mahu membuka perniagaan internet sendiri, mereka mula menghadiri
kursus-kursus berkaitan yang yurannya hampir mencecah empat angka,
kerana yakin nilai pulangan yang jauh lebih tinggi daripada itu.

Perkara ini diakui sendiri oleh Irfan Khairi , penulis buku Rahsia
Jutawan-Jutawan Internet Terbongkar, buku bahasa Melayu yang
pertama yang menceritakan tentang potensi perniagaan internet,
sekaligus membongkar rahsia-rahsia perniagaan internet. Sejak
munculnya buku tersebut di pasaran pada tahun lepas, perniagaan
internet di Negara ini mula menampakkan perkembangan rancak,
meskipun di Barat industri ini sudah berkembang hebat sejak sepuluh
tahun yang lalu."Industri ini masih baru di Negara ini. Cuma sejak
kebelakangan ini ia sudah mula mendapat sambutan dan kepercayaan
orang ramai. Saya harap dengan kehadiran saya dalam industri
internet sejak tahun lepas sedikit sebanyak membuka lebih banyak
mata terutama di kalangan masyarakat bumiputera tentang peluang
perniagaan melalui internet ini," ujar Irfan Khairi yang ditemu
bual baru-baru ini.

FENOMENA BARU

Fenomena ini jelas dapat dilihat apabila buku tersebut menjadi
Best-Seller di kedai-kedai buku terkenal seperti di MPH dan
Kinokuniya. Cakera padat bertajuk Manual Langkah 1-2-3 Membina
Laman Web Perniagaan Internet turut mendapat sambutan di samping
Workshop Jutawan Internet yang dikendalikan sendiri oleh Irfan
Khairi. Itu belum lagi diceritakan tentang produk-produk
seumpamanya yang dikeluarkan oleh usahawan-usahawan internet lain.
Bumiputera yang memiliki tahap ekonomi yang masih rendah tidak
harus melepaskan peluang keemasan ini berlalu begitu sahaja.
Peluang ini harus direbut sebaik mungkin kerana ia sedang terbuka
luas dan masih banyak ruang yang belum diteroka, memandangkan
Malaysia masih lagi berada di tahap awal dalam penerimaan
perniagaan melalui internet.

"Masih terdapat terlalu banyak ruang yang boleh dieksploitasi oleh
kaum bumiputera di arena internet. Sebagai contoh, ketika saya
bersiar-siar di kedai buku agama, terlalu banyak buku agama yang
ada di pasaran tetapi tidak ada dijual di pasaran internet. Di situ
saja satu idea memulakan perniagaan internet - menjualbuku-buku
agama - boleh dilakukan," kata Irfan.

POTENSI MASA DEPAN

Tambah Irfan, potensi perniagaan internet pada masa hadapan akan
menjadi semakin luas. Seperti televisyen, radio, surat khabar, dan
majalah yang merupakan media yang tidak luntur dek masa, demikian
juga dengan internet.

"Pada masa ini pengguna internet di Malaysia mencecah 10 juta
orang. Pada tahun lepas, jumlahnya adalah sembilan juta orang,
bererti kenaikan sebanyak 1 juta pengguna setahun. Tetapi kita
harus ingat, kenaikan itu tidak berlaku secara linear.

Tahun hadapan bukan bermakna lagi satu juta pengguna internet, tapi
mungkin 1.5 juta atau 2 juta. Saya yakin, pengguna internet dan
penerimaan internet akan terus berkembang di Malaysia seiring
dengan usaha kerajaan yang turut menekankan kepentingan industri
ICT di Negara ini."

Mungkin ramai yang teruja membaca kisah Irfan Khairi, tetapi masih
tidak tahu untuk bertindak. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh
memulakan perniagaan internet sekiranya ada minat untuk
melakukannya. Ini kerana perniagaan internet tidak memerlukan modal
yang tinggi, kerana ia boleh dimulakan dengan modal serendah RM500
sahaja. Ia juga tidak memerlukan pengetahuan teknologi maklumat
yang tinggi kerana hari ini terdapat banyak buku-buku panduan
mengenainya serta perisian-perisian yang membolehkan seseorang itu
membina laman web nya sendiri.

"Sebenarnya untuk memulakan perniagaan internet, seseorang itu
tidak perlu ilmu yang mendalam dalam bidang teknologi maklumat.
Sudah memadai bagi seseorang yang tahu menggunakan internet -
samada untuk melayari laman-laman web, menggunakan emel atau
membuat penyelidikan.

Sekiranya tahu menggunakan perisian mudah seperti Microsoft Word,
maka, sudah cukup untuk memulakan perniagaan internet. Asalkan
mereka sanggup belajar dan ambil langkah demi langkah," kata Irfan.
Irfan menjelaskan adalah amat rugi bagi seseorang usahawan yang
sudah memiliki perniagaan sendiri tidak mahu merebut peluang ini.

Ini kerana, menjual produk di kedai konvensional hanya dapat
menerima kunjungan orang-orang yang berada di persekitaran kedai
itu. Tetapi dengan cara mengembangkan perniagaan itu di internet,
usahawan tersebut boleh mencapai pengguna internet satu Malaysia
yang jumlahnya melebihi 10 juta orang.

Bahkan, mereka boleh pergi lebih jauh dengan menjual produk mereka
ke seluruh dunia dengan jumlah pengguna internet kini melebihi 1
billion orang.

Internet memiliki banyak kelebihan berbanding perniagaan
konvensional kerana ia tidak dibatasi oleh sempadan geografi,
bangsa dan agama.

Kerana itu, sesiapa sahaja boleh berjaya di internet jika rajin
berusaha, pandai membaca peluang dan yakin kepada diri sendiri.

PENYELESAI MASALAH

Perniagaan internet adalah penyelesai kepada banyak masalah. Ia
boleh menyelesaikan masalah mereka yang menghadapi kesesakan lalu
lintas, kepada ibu-ibu yang mahu menjaga sendiri anak-anak serta
kepada mereka yang masih menganggur.

"Hari ini ramai orang yang menghadapi masalah dengan pekerjaan
mereka, termasuk juga mereka yang tidak ada kerja. Mereka ini harus
memberi peluang kepada diri sendiri untuk mencuba perniagaan
melalui internet ini. Ia boleh dijalankan di rumah dengan kos yang
sungguh minimum.

"Bagi graduan menganggur pula, mereka patut merebut peluang ini dan
tidak menunggu pekerjaan makan gaji. Bahkan saya sarankan bukan
sahaja kepada graduan menganggur, tetapi sesiapa juga sebagai satu
cara mendapatkan pendapatan sampingan dan memantapkan ekonomi" kata
Irfan lagi.

KISAH KEJAYAAN IRFAN KHAIRI

Saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan internet kira-kira 7
tahun yang lalu ketika berada di United Kingdom. Pada mulanya, saya
tidak berapa pandai berniaga melalui internet. Minat berniaga sudah
ada sejak di bangku sekolah, tetapi, berniaga di internet adalah
perkara baru.

Pada mulanya saya hanya melakukan perniagaan internet secara
sambilan. Pada mulanya juga, amat sukar untuk saya mendapatkan
pelanggan!boleh dikatakan selama setahun saya gagal dalam
perniagaan internet - malah mengalami kerugian. Saya bertekad untuk
terus berjaya.

Jadi saya berusaha mengumpulkan wang untuk menghadiri kelas
perniagaan internet dan membeli bahan-bahan rujukan perniagaan
internet.

Selama 2 tahun saya bekerja sebagai tukang cuci di pasaraya untuk
menampung bahan-bahan pembelajaran serta menghadiri seminar
mengenai perniagaan internet. Alhamdullillah, secara
perlahan-perlahan saya dapat memperbaiki perniagaan saya.
Pengalaman juga turut membantu sehingga saya berumur 25 tahun
(empat tahun lalu).

Allah Maha Pemurah memberi rezeki kepada perniagaan internet saya
untuk meraih lebih dari RM1 juta keuntungan dalam masa 3 tahun. Dua
tahun lepas saya kembali ke Malaysia dan mendapati perniagaan
internet di Malaysia tidak mendapat sambutan.

Ketika itu, saya bertekad untuk mendidik masyarakat Malaysia serta
memberi kesedaran tentang peluang yang terdapat melalui perniagaan
internet melalui buku serta bengkel yang saya anjurkan di
RahsiaInternet.com.
Alhamdullillah, kini masyarakat lebih ramai dapat menerima
perniagaan internet dan saya juga akan terus dengan usaha saya
selagi termampu, Insya-Allah.

MELABUR PADA DIRI SENDIRI

Seringkali saya di Tanya. "Irfan, saya ada wang simpanan RM 5,000
yang saya boleh laburkan. Dimana boleh saya laburkannya untuk
mendapat pulangan tertinggi?"

Jawapan saya adalah : Laburkan pada ilmu.

Kawan baik saya, jutawan Azizi Ali sering memulakan ceramahnya
dengan soalan "Berapa banyakkah anda sanggup melabur untuk
memperolehi pendapatan sebanyak RM1 juta?". Pelbagai jawapan yang
diterima. Ada yang menjawab RM1,000.00. Ada yang menjawab RM10,000.
Ada juga yang menjawab RM100,000!

Walaupun soalannya berbunyi agak simple, namun, jawapan yang diberi
menggambarkan sama ada anda serius dalam mencari ilmu untuk menjana
pendapatan yang tinggi.

Melihat orang-orang yang berjaya di seluruh dunia,mereka merupakan
orang yang suka mencari ilmu untuk memperbaiki diri sendiri. Orang
yang berjaya adalah mereka yang sering dahagakan ilmu dan sentiasa
menuntut ilmu untuk mencari idea-idea baru, teknik dan strategi
yang mereka boleh gunakan dalam memperbaiki diri sendiri dan
menjana lebih banyak pendapatan.

Fikiran adalah anugerah yang paling tinggi nilanya pada setiap
manusia. Manusia juga dikatakan tidak pernah menggunakan
keseluruhan potensi kuasa fikiran yang mereka ada.

Berapa banyak anda patut melabur pada ilmu?

Di sini terdapat satu formula mudah untuk melabur untuk ilmu.
Formulanya berbunyi laburkan 3% daripada pendapatan bulanan anda
kepada ilmu yang dapat memperbaiki nilai diri anda.

Ini bermakna sekiranya pendapatan bulanan anda adalah RM2,000
sebulan, laburkan RM60 setiap bulan untuk ilmu memperbaiki diri
anda. Mungkin dengan jumlah ini, anda akan dapat membeli 2 atau 3
buah buku yang berkaitan dengan industri anda. Ataupun, simpan 3%
selama 4 bulan untuk mengumpul RM240 untuk anda menghadiri kursus
yang boeh memperbaiki nilai diri anda.

Sekiranya anda melabur pada ilmu, sebanyak 3% daripada pendapatan
anda setiap bulan, ilmu tersebut akan menambahkan pengetahuan dan
kepakaran anda dan ia turut akan menambahkan pendapatan bulanan
anda.
Sekiranya anda inginkan kemewahan dan kekayaan, anda perlu menjadi
lebih baik dari mereka di dalam bidang anda. Untuk menjadi lebih
baik - ilmu diperlukan!

Pasaran pendapatan adalah adil. Pasaran akan memberi pulangan yang
hebat kepada mereka yang hebat di dalam industri masing-masing.
Sekiranya anda menjalankan tugas sederhana, pulangan anda juga
turut sederhana. Sekiranya anda mempunyai kepakaran yang tinggi
atas hasil anda mendalami ilmu bidang anda sendiri, anda juga akan
mendapat pulangan yang tinggi dalam bidang anda.

Katakan dengan melaburkan wang anda dalam memperbaiki diri anda
pada setiap bulan sehingga anda menerima pendapatan RM4,000
sebulan. Dengan hanya menyimpan 10% setiap bulan daripada
pandapatan tersebut ke akaun pelaburan yang memberi pulangan 10%
setahun, akaun simpanan anda akan mencecah RM1 juta dalam masa 31
tahun sahaja! Anda akan pencen sebagai seorang jutawan!

Ramai yang akan mengeluh. Menjadi jutawan dalam masa 30 tahun
adalah waktu yang lama! Bagaimana Irfan melakukan dalam masa 3
tahun?

Di sinilah pelaburan pada ilmu pengetahuan menjadi lebih penting.
Sering saya dengar kisah kejayaan di mana seseorang itu mendapat
satu idea atau mempelajari satu teknik dari menuntut ilmu yang
telah memberi mereka pulangan sehingga RM5,000, RM10,000, RM20,000
atau lebih setiap bulan!

Secara peribadi, diri saya sendiri juga turut menerima pendapatan
yang berganda hasil daripada mendapat idea dan teknik daripada
sering mencari ilmu. Dalam mencari ilmu, memang perlu kita melabur.

Cara-cara mencari ilmu :

1. Melalui buku-buku. Jangan lupa,tidak semestinya anda membeli
buku. Perpustakaan membolehkan anda membaca apa saja buku dari
pelbagai bidang tanpa anda perlu membeli buku-buku tersebut. Alasan
tiada wang untuk membeli buku tidak diterima di sini.

2. Salah satu cara terpantas mencari ilmu adalah mempelajari
daripada mereka yang pakar. Dalam bidang apa sahaja pun, terdapat
pakar yang telah berjaya. Pelajari dari pakar industri anda dan ia
merupakan short-cut untuk anda berjaya. Ingat, anda tidak perlu
mencipta kaedah baru- ikuti kaedah dan strategi yang digunakan oleh
orang yang berjaya, dan anda juga akan turut berjaya!

3. Anda juga boleh menyertai seminar dan kursus dalam memperbaiki
nilai anda sendiri. Walaupun anda perlu melabur sejumlah wang dan
tenaga anda untuk ke tempat kursus, sering kali saya mendengar
kisah-kisah kejayaan daripada pelaburan sebegini. Peserta-peserta
kursus saya juga ramai yang telah berjaya melalui kaedah ini!

Terdapat banyak cara untuk menambahkan ilmu yang akan menambahkan
isi dompet anda! Apa yang menghalang anda hanyalah kemahuan anda
dan kesungguhan anda untuk mencari ilmu tersebut.


http://www.rahsiainternet.com/